Perubahan Keadaan Jirim

  1. Keadaan fizik jirim suatu bahan boleh berubah apabila berlakunya perubahan suhu dan tekanan. Contohnya, air wujud sebagai ais (keadaan pepejal) pada suhu kurang daripada 0 °C pada tekanan 760 mmHg. Air (keadaan cecair) wujud pada suhu antara 0 °C dan 100 °C. Pada suhu lebih daripada 100 °C, stim (keadaan gas) terbentuk.
  2. Jirim menyerap tenaga haba apabila dipanaskan dan membebaskan tenaga haba apabila disejukkan. Ini boleh menyebabkan suhu jirim berubah.
  3. Apabila jirim dipanaskan, zarah-zarahnya menerima tenaga haba dan tenaga kinetiknya bertambah, maka suhu bertambah.
  4. Apabila jirim disejukkan, zarah-zarahnya membebaskan tenaga haba. Maka tenaga kinetiknya berkurang, maka suhu menurun.
  5. Perubahan keadaan fizik sesuatu jirim boleh berlaku dengan mengubahkan suhu jirim.
  6. Perubahan keadaan jirim sesuatu bahan boleh diterangkan dengan menggunakan teori kinetik jirim.

Peleburan

  1. Apabila suatu pepejal dipanaskan, zarah-zarah dalam pepejal itu memperoleh tenaga. Tenaga kinetik bagi zarah-zarah pepejal meningkat dan getaran zarah­zarah semakin laju.
  2. Semasa suhu meningkat, zarah-zarah bergetar dengan lebih laju sehingga tenaga yang diserap cukup untuk mengatasi daya tarikan yang memegang zarah-zarah itu pada kedudukannya yang tetap. Pada takat ini, zarah-zarah dapat bergerak bebas dan pepejal berubah kepada cecair.
  3. Suhu pada takat ini dipanggil takat lebur.
  4. Takat lebur bagi suatu bahan ialah suhu apabila bahan itu bertukar daripada keadaan pepejal kepada keadaan cecair pada tekanan tertentu.

Pengewapan

  1. Apabila dipanaskan, tenaga haba yang diserap oleh cecair menyebabkan zarah-zarah bergerak dengan lebih cepat.
  2. Pada takat didih, tenaga yang diperoleh akan membolehkan zarah-zarah cecair mengatasi daya tarikan antara zarah.
  3. Zarah-zarah cecair menjadi bebas dan membentuk gas.

Pemejalwapan

  1. Apabila dipanaskan, zarah-zarah pepejal memperolehi tenaga yang lebih banyak dan bergerak dengan lebih cepat.
  2. Zarah-zarah pepejal terpisah daripada kekisi pepejal dan terbebas ke udara.
  3. Oleh itu, pepejal berubah kepada gas secara terus.

Pembekuan

  1. Jika cecair disejukkan, pergerakan zarah-zarah menjadi semakin perlahan.
  2. Daya tarikan di antara zarah-zarah menjadi semakin kuat dan tersusun padat dan teratur semula pada takat beku. Pembekuan berlaku.
  3. Nilai takat lebur dan takat beku suatu bahan tulen adalah sama.

Kondensasi

  1. Apabila suatu gas disejukkan, zarah-zarahnya membebaskan tenaga haba dan tenaga kinetiknya berkurang.
  2. Pergerakan zarah­zarah menjadi semakin perlahan dan membolehkan zarah­zarah menarik di antara satu sama lain untuk membentuk cecair.
  3. Proses di mana gas menjadi cecair dipanggil kondensasi.
  4. Suhu di mana gas terkondensasi menjadi cecair dipanggil takat kondensasi.
  5. Nilai takat kondensasi dan takat didh suatu bahan adalah sama jika bahan itu adalah tulen.

Takat didih dan takat lebur

  1.  Takat lebur sesuatu pepejal ialah suhu tetap di mana pepejal tulen berubah menjadi cecair pada suatu tekanan tertentu.
  2. Takat didih sesuatu cecair ialah suhu tetap di mana cecair berubah menjadi gas pada suatu tekanan tertentu.
  3. Contohnya, takat lebur dan takat didih air pada tekanan 760 mmHg masing-masing adalah 0 °C dan 100 °C.
  4. Bahan yang berbeza-beza mempunyai takat lebur dan takat didih yang berbeza.
  5. Takat lebur dan takat didih bagi bahan yang tulen adalah sentiasa malar. Oleh itu, takat lebur dan takat didih boleh digunakan untuk mengenal pasti sesuatu bahan dalam analisis kimia atau menguji ketulenannya.
  6. Kehadiran bendasing dalam sesuatu bahan akan menyebabkan
    1. takat didih meningkat
    2. takat lebur menurun

 

Leave a Comment