Elektrolit dan Bukan Elektrolit

Konduktor
  1. Konduktor merupakan bahan yang mengkonduksikan elektrik dalam keadaan pepejal atau cecair (leburan) tetapi tidak berubah dari segi kimia semasa kekonduksian.
  2. Karbon (grafit) dan logam adalah konduktor elektrik yang biasa digunakan.
  3. Karbon dan logam ialah konduktor tetapi bukan elektrolit kerana tidak terurai oleh arus elektrik.
  4. Kekonduksian elektrik bagi konduktor adalah disebabkan oleh pengaliran elektron. Elektron bertindak sebagai pembawa cas.
Elektrolit
  1. Elektrolit ialah sebatian kimia yang boleh mengkonduksikan elektrik dalam keadaan leburan atau akueus. Semasa Mengkonduksikan elektrik, elektrolit diuraikan kepada juzuk unsurnya.
  2. Contoh-contoh elektrolit:
    1. Sebatian ion lebur: leburan plumbum(II) bromida, leburan natrium klorida.
    2. Larutan akueus: larutan akueus natrium klorida, larutan akueus kuprum(II) sulfat, dan larutan akueus argentum(I) nitrat.
    3. Larutan akueus asid dan alkali: asid hidroklorik, asid etanoik, larutan natrium hidroksida, larutan ammonia.
  3. Semua elektrolit mengandungi ion-ion yang bebas bergerak sebagai pembawa cas.
  4. Semua sebatian ionik dalam keadaan leburan dan larutan akueus merupakan elektrolit kerana terdiri daripada ion positif dan ion negatif yang boleh bergerak bebas.
Bahan Bukan Elektrolit
  1. Bukan elektrolit ialah sebatian kimia yang tidak mengkonduksikan elektrik dalam keadaan leburan atau akueus.
  2. Contoh-contoh bukan elektrolit termasuk sebatian kovalen seperti larutan gula, cecair bromin, leburan sulfur, leburan naftalena, etanol, benzena dan tetraklorometana.
  3. Bukan elektrolit tidak mengandungi ion-ion yang bebas bergerak. Ia terdiri daripada molekul-molekul yang neutral sahaja.
  4. Secara umum, sebatian kovalen adalah bukan elektrolit. Bagaimanapun, sesetengah sebatian kovalen mengkonduksikan elektrik apabila dilarutkan dalam air. Contohnya, hidrogen klorida, sulfur dioksida dan ammonia.

Leave a Comment