Sifat-sifat Fizik Sebatian Ion dan Kovalen

  1. Sebatian ion terdiri daripada ion berlawanan cas, yang ditarik oleh ikatan ionik yang kuat. Ion-ion ini disusun pada kedudukan yang tetap, teratur dan padat dalam struktur raksasa.
  2. Kebanyakan sebatian kovalen terdiri daripada molekul-molekul ringkas yang ditarik oleh daya tarikan van der Waals yang lemah antara molekul.
  3. Perbezaan sifat fizik antara sebatian ion dan sebatian kovalen adalah disebabkan oleh perbezaan jenis ikatan dan struktur.

Perbandingan Sifat-sifat Fizik Sebatian Ion dan Sebatian Kovalen

Takat Lebur dan Takat Didih

Sebatian Ion

  1. Sebatian ion biasanya mempunyai takat lebur dan takat didih yang tinggi.
  2. Ini disebabkan oleh daya tarikan elektrostatik yang kuat antara ion-ion yang berlawanan cas.
  3. Kuantiti tenaga haba yang tinggi diperlukan untuk mengatasi daya tarikan yang kuat antara ion-ion ini semasa peleburan dan pendidihan.
  4. Sebatian ion biasanya wujud sebagai pepejal tidak meruap pada suhu bilik.

Sebatian Kovalen

  1. Sebatian kovalen biasanya terdiri daripada molekul-molekul yang mempunyai struktur molekul ringkas yang tidak bercas.
  2. Daya tarikan antara molekul-molekul ini (Daya tarikan van der Waals) adalah lemah.
  3. Tenaga haba yang diperlukan untuk mengatasi daya tarikan antara molekul yang lemah ini semasa peleburan atau pengewapan adalah rendah.
  4. Oleh itu, sebatian kovalen mempunyai takat lebur dan takat didih yang rendah.
  5. Sebatian kovalen biasanya wujud sebagai cecair meruap pada suhu bilik.
Kekonduksian Elektrik

Sebatian Ion

  1. Sebatian ion mempunyai ion-ion bercas positive dan negatif.
  2. Dalam keadaan pepejal, ion-ion ini berada pada kedudukan tetap dan tidak boleh bergerak bebas. Oleh itu, sebatian ionik dalam keadaan pepejal tidak mengkonduksikan elektrik.
  3. Dalam keadaan leburan dan larutan akueus, sebatian ion mengandungi ion-ion bercas yang bebas bergerak. Oleh itu, sebatian ionik boleh mengkonduksikan elektrik.

Sebatian Kovalen

  1. Sebatian kovalen tidak mengkonduksikan elektrik dalam sebarang keadaan kerana mengandungi molekul-molekul yang tidak bercas.
  2. Bagaimanapun, beberapa sebatian kovalen bercerai kepada ion-ion apabila melarut dalam air dan membentuk elektrolit yang boleh mengkonduksikan elektrik. Contohnya, ammonia, hidrogen klorida dan sulfur dioksida terlarut dalam air membektuk larutan akueus dan mengkonduksikan elektrik.
Keterlarutan

Sebatian Ion

  1. Sebatian ion biasanya larut dalam air tetapi tidak larut dalam pelarut organik.
  2. Sebatian ion tidak larut dalam pelarut organik seperti petrol dan turpentin.

Sebatian Kovalen

  1. Kebanyakan sebatian kovalen tidak larut dalam air kerana molekul kovalen adalah neutral.
  2. Sebatian kovalen biasanya larut dalam pelarut organik.
  3. Bagaimanapun, kebanyakan sebatian kovalen raksasa tidak terlarut dalam kedua-dua air dan pelarut organik.
Ringkasan
Sebatian Ion Sebatian Kovalen
Mempunyai takat lebur dan takat didih yang tinggi. Mempunyai takat lebur dan takat didih yang rendah.
Mengalirkan elektrik dalam keadaan lebur atau dalam larutan akueus Tidak boleh mengalirkan elektrik dalam sebarang keadaan.
Biasanya melarut dalam air tetapi tidak larut dalam pelarut organik Biasanya larut dalam pelarut­-pelarut organik (Contohnya eter, metil benzena benzena, turpentin dan tetraklorometana)

Leave a Comment