Struktur Sebatian Ionik dan Kovalen

Struktur Sebatian Ionik

  1. Sebatian ion terdiri daripada ion positif dan ion negatif yang ditarik oleh ikatan ionik (daya tarikan elektrostatik) yang kuat.
  2. Ion-ion dalam sebatian ionik ini disusun pada kedudukan yang tetap, teratur dan padat dalam struktur raksasa.
  3. Rajah di bawah menunjukkan struktur kekisi natrium klorida yang terdiri daripada ion-ion natrium, Na+ dan ion-ion klorida, Cl. Ion-ion yang mempunyai cas yang berlainan menarik antara satu sama lain.

Struktur Molekul Sebatian Kovalen

  1. Di alam semulajadi, terdapat sebatian kovalen mempunyai sifat-sifat fizik yang amat berbeza. Ini adalah disebabkan oleh struktur molekulnya yang berbeza.
  2. Dari segi struktur molekul, sebatian kovalen dapat dikelaskan kepada,
    1. struktur molekul ringkas.
    2. struktur molekul raksasa.
Struktur molekul ringkas
  1. Setiap molekul mempunyai beberapa atom sahaja. Atom-atom itu digabungkan oleh ikatan kovalen yang kuat.
  2. Bagaimanapun, di antara molekul-molekul yang berasingan, hanya terdapat daya tarikan antara molekul yang lemah. Daya tarikan ini dikenali sebagai daya van der Waals.
    Contoh: karbon dioksida, ammonia, sulfur dioksida, etanol, sulfur trioksida, hidrogen sulfida, tetraklorometana, glukosa dan air.
  3. Rajah di bawah menunjukkan struktur molekul ammonia.Ikatan kovalen N—H dalam molekul adalah kuat tetapi daya tarikan antara molekul-molekul ammonia NH3 adalah lemah.
  4. Oleh kerana daya tarikan antara molekul kovalen ringkas adalah lemah, maka hanya sedikit tenaga haba sahaja diperlukan untuk mengatasi daya tarikan itu. Oleh itu, sebatian kovalen molukul ringkas mempunyai takat lebur dan takat didih yang rendah.
Struktur molekul raksasa:
  1. Selain daripada sebatian kovalen molekul ringkas, terdapat juga sebatian kovalen yang terdiri daripada molekul raksasa seperti intan dan silikon dioksida.
  2. Dalam sebatian kovalen molekul raksasa, ikatan-ikatan kovalen yang kuat menggabungkan semua atom dalam struktur kekisi tiga dimensi. Ia kelihatan seperti satu molekul yang sangat besar yang terdiri daripada berjuta-juta atom.
  3. Rajah di bawah menunjukkan struktur kekisi raksasa bagi intan.
  4. Oleh kerana ikatan antara atom-atom ialah ikatan kovalen yang kuat, maka banyak tenaga baba diperlukan untuk memecah ikatan-ikatan itu semasa peleburan/pendidihan. akibatnya, sebatian kovalen bermolekul raksasa mempunyai takat lebur dan takat didih yang tinggi.

Leave a Comment